Wednesday, August 21, 2013

Bab Tiga


Isi Kandungan

3.1 Pengertian Terminoligi
3.1.1 Syariah
3.1.2 Fiqh
3.1.3 Hukum
3.1.4 Undang-Undang
3.1.5 Nas
3.1.6 Masadir
3.2 Maqasid Syariah/ Objektif Syariah
3.3 Skop Syariah Islam
3.3.1 Skop
3.3.2 Perlaksanaan
3.4 Ciri-Ciri Perundangan Islam
3.5 Sumber Perundangan Islam
3.6 Syariat Dan Pembangunan Ummah


Syariah Daiam Kehidupan Muslim

3.1 Pengertian Terminoligi

Antara asas yang paling utama dalam Islam ialah perundangan. Perundangan dalam Islam merupakan cara atau kaedah untuk mendisiplinkan perjalanan kehidupan Muslim yang berupa himpunan hukum-hukum syarak amali yang mengatur hubungan sesama manusia dalam pelbagai perkara muamalat dan menjelaskan kepada muslim apa yang disukai dan yang tidak disukai oleh Allah s.w.t.

3.1.1 Syariah

Untuk mengenali undang-undang Islam, umat Islam perlu memahami terlebih dahulu dua istilah yang selalu disebut-sebut dalam konteks memperkatakan undang-undang Islam. Istilah-istilah itu ialah:
1. al-Syariah al-Islamiyah atau syariah Islam dan
2. al-Fiqh al-Islam atau hukum fiqh Islam.

Kedua-dua istilah tersebut pada umumnya membawa erti undang-undang, akan tetapi jika dihalusi akan ternyata bahawa istilah "al-syariah al-Islamiyah" itu tebih umum dan meluas dari istilah "al-Fiqh al-Islam" itu sendiri.

" Makna Syariah

Syariah dari segi bahasa ialah jalan, sumber air, peraturan, undang-undang syarak.
Dari segi istilah ialah fsetiap sesuatu yang telah diperundangkan oleh Allah s.w.t. di dalam urusan keagamaan melalui wahyuNya sama ada dari Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w.

Ini bererti bahawa syariah itu ialah hukum-hukum Allah s.w.t. yang diturunkan kepada manusia meliputi segenap urusan manusia mencakupi persoalan akidah (kepercayaan), syariah (perundangan), dan segala sesuatu yang berhubung dengan kehidupan manusia (muamalah) dan sebagainya.

Syariah juga bermaksud; apa-apa yang telah ditentukan atau diperintah oleh Allah s.w.t kepada hambanya, atau ia sebagai sumber air atau jalan.

Menurut Dr. Haron Din, syariah boleh diertikan telah masuk ke dalam air atau telah meminum air dengan kedua-dua tangannya atau jalan ke arah air atau tempat keluarnya mata air.

Menurut ahli fiqh, syariah bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. melalui rasulNya untuk hambaNya supaya mereka mentaati segala hukum dan peraturan yang terkandung di dalamnya. Hukum ini dinarnakan syariah kerana ianya betul seperti mana jalan yang lurus. la juga disamakan dengan tempat atau sumber air kerana ia menjadi makanan jiwa seperti air menghidupkan badan manusia. Menurut imam Abu Hanifah, syariah bermaksud semua ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bersumber wahyu Allah.

Kalimah syariah bukan direka oleh manusia, akan tetapi ianya adalah wahyu dari Allah s.w.t. sebagaimana yang terdapat dalam firmanNya:
Terjemahan: kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar). (Surah al Jathiah : 18).

Terdapat juga perkataan-perkataan lain yang amat rapat dengan perkataan syariah. Di antaranya ialah:

3.1.2 Fiqh
Menurut Imam al-Ghazali fiqh bermaksud mengetahui dan memahami hukum-hukum syarak yang berhubung dengan perbuatan manusia yang mukalaf sama ada yang berhubung dengan amal ibadah, kira-bicara atau mu'amalat, kehakiman dan sebagainya.

la merupakan undang-undang sampingan yang dipecah dari undang-undang asasi. la merupakan tafsiran-tafsiran dari undang-undang umum. Oleh itu sesuatu yang dihasilkan oleh ilmu fiqh merupakan peraturan Islam atau pecahan dari undang-undang dasar Islam itu sendiri.

3.1.3 Hukum
Fuqaha mentakrifkan hukum sebagai khitab iaitu perintah atau larangan Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf seperti:

a- Wajib: laitu melakukannya mendapat pahala. Meninggalkannya berdosa.
b- Sunat: laitu melakukannya mendapat pahala. Meninggalkannya tidak berdosa
c- Haram: laitu melakukannya berdosa. Meninggalkannya mendapat pahala
d- Harus: Melakukannya atau meninggalkannya tidak berdosa
e- Makruh: laitu melakukannya tidak berdosa. Meninggalkannya mendapat pahala.

Hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah merangkumi tiga aspek penting kepada kehidupan manusia iaitu:
a. Hukum tafsiliyah (terperinci) seperti kewajiban solat, puasa, zakat dan haji. la juga dikenali ibadah khususi.
b. Hukum-hukum yang berkaitan dengan akidah.
c. Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak seperti perbuatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, perbuatan yang melibatkan sesama manusia seperti berjual beli dan perbuatan yang tergolong dalam jinayah seperti hukum hudud, qisas dan takzir.

3.1.4 Undang-Undang
Merupakan norma-norma hukum yang diterima dan diperkanunkan oleh badan-badan perundangan tertentu serta menerusi proses-proses tertentu.
Undang-undang Islam bermaksud ketetapan-ketetapan syariat yang telah mengalami proses ijtihad secara halus serta ditetapkan oleh badan perundangan Negara Islam sebagai satu undang-undang yang dilaksanakan di negara berkenaan.

3.1.5 Nas
laitu dalil syariah terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w. yang digunakan sebagai hujjah dalam menentukan sesuatu hukum.

3.1.6 Masadir
laitu sumber-sumber syariah dalam mencari hukum yang terdiri daripada Al-Quran, Al-Hadis, Al-Ijma', Al-Qiyas dan lain-lain.

3.2 Maqasid Syariah/ Objektif Syariah

Syariah Islam diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia mempunyai beberapa objektif yang utama. Antara lain ialah:

i. Mendidik Manusia
Kehidupan manusia di dunia banyak terdedah kepada ujian dan cubaan. Manusia yang terhad kekuasaannya tertakluk kepada penciptanya iaitu Allah s.w.t. bagi menghadapi segala cabaran yang berlaku. Ini disebut secara jelas oleh Allah dalam surah al-Kahfi ayat 7
Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah jadikan apa Yang ada di muka bumi sebagai perhiasan bagiNya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya Yang lebih baik amalnya. (Surah al Kahfi : 7).

Ayat di atas menjelaskan kekuasaan, kekayaan dan harta benda yang dimiliki oleh manusia adalah bahan ujian bagi manusia di dunia ini. Oleh itu syariah diturunkan untuk mendidik manusia menghadapi segala cabaran itu. Syariah menanamkan keimanan dan nilai-nilai amanah serta kebenaran dalam jiwa seseorang itu. Sebahagian dari program pendidikan Islam adalah melalui ibadah. Program ibadah ini dibentuk bagi mendidik manusia supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna dan memberi manfaat kepada makhluk lain dan bukan menjadi makhluk perosak.

ii. Memelihara Lima Prinsip Dalam Islam
Objektif syariah Islam yang kedua ialah memelihara lima perkara asas atau pokok bagi kesejahteraan dan keamanan seluruh umat manusia iaitu:

a. Mengawal Againa
Agama adalah asas keimanan setiap insan di bumi ini. lanya perlu dijaga agar terjamin kemuliaannya. Oleh itu, orang yang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, apabila diminta bertaubat tetapi masih berdegil, maka ianya perlu dikenakan hukuman bunuh. lanya berdasarkan kepada firman Allah
Terjemahan: dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi. (Surah Ali 'Imran : 85).

Firman Allah SWT

Terjemahan: mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang Dalam bulan Yang dihormati; katakanlah: "Peperangan Dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang Dalam bulan Yang dihormati). dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian); dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya). (Surah al Baqarah : 217).

Mengenai hukumannya pula, Nabi s.a.w. menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang menukar agamanya (Islam), maka bunuhlah dia". (muttafak 'alahi)

Dari sini jelaslah Allah menegaskan supaya menjaga agama mereka. Ini adalah bagi menjaga kepentingan dan keselamatan mereka. Sebagai muslim, iktikad atau kepercayaan kepada Allah s.w.t. mesti dibetulkan dan kepada yang non-muslim, kebebasan beragama harus dibenarkan selama mana ia tidak bermusuhan dengan Islam.

b. Menjaga Nyawa
Menurut Islam, seseorang tidak boleh dibunuh kecuali menurut undang-undang. Ini telah dijelaskan oleh Allah SWT
Terjemahan: Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) Yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa Yang membunuh seorang manusia Dengan tiada alasan Yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah Dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa Yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah Dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. dan Demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami Dengan membawa keterangan Yang cukup terang; Kemudian, Sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang Yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi. (Surah Al Maidah : 32).

Dalam surah al-Isra' ayat 33, Allah menjelaskan

Terjemahan: dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia Yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali Dengan alasan Yang benar. dan sesiapa Yang dibunuh secara zalim, maka Sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau Dalam menuntut balas bunuh itu, kerana Sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). (Surah Al Isra' : 33).

Alasan yang dibenarkan adalah mengikut hukum Allah seperti membunuh orang yang membunuh orang Islam yang lain tanpa hak, waris atau penguasa dalam negara itu boleh menjalankan hukuman qisas ke atasnya. Jika sekiranya waris itu memaafkan pembunuh tersebut, pembunuh itu dikenakan hukuman diat dan kafarah. Diat adalah denda yang ditetapkan oleh keluarga mangsa ke atasnya, manakala kafarah pula sebagai tebusan atau harga nyawa simati kepada pesalah (pembunuh).

Kemuliaan hidup dan kehormatan nyawa manusia tidak akan dibatalkan melainkan oleh syariat Islam. Islam melindungi hak manusia dari sudut jasmani serta rohani sama ada semasa hidup mahu pun mati.

c. Memelihara Akal
Islam menyuruh manusia supaya memelihara akal dengan melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan menjauhi semua perkara yang dapat merosakkan serta sentiasa digalakkan berfikir. Ini adalah bagi merangsangkan manusia selalu menggunakan akal fikiran untuk kebaikan dan kesejahteraan, bukannya untuk melakukan kerosakan serta menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Dalam surah al-Maidah ayat 90, Allah swt menjelaskan

Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al Maidah : 90).

Allah s.w.t. melarang manusia daripada mendekatkan diri kepada arak dan perkara yang berlawanan dengan fitrah manusia adalah untuk menjaga akal fikiran manusia daripada rosak. Hukuman ke atas peminum arak adalah termasuk dalam hukuman hudud iaitu dikenakan 40 kali sebatan pada zaman Nabi s.a.w dan Abu Bakar. Pada zaman Omar al-Khattab sebatannya sebanyak 80 kali dan ini adalah bagi menginsafkan umat Islam supaya lebih berhati-hati dan berwaspada.

d. Memelihara Keturunan
Islam mengadakan peraturan dan memudahkan persoalan nikah kahwin serta amat melarang umatnya melakukan hubungan yang tidak berdasarkan hukum syara' walau bagaimana bentuk dan caranya. Ini adalah bertujuan untuk memelihara keturunan dan maruah umat Islam. Islam telah mengatur hubungan sosio-budayanya dengan mengenakan hukuman had kepada penzina-penzina demi untuk menjaga keturunan dan maruah daripada dicemari oleh budaya syaitan. Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-Isra' ayat 32
Terjemahan: dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al Isra' : 32).

Firman Allah s.w.t. dalam surah yang lain (an-Nur ayat 2)
Terjemahan: perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman. (Surah an Nuur : 2).

Bagi mereka yang sudah berkahwin, hendaklah direjam dengan batu sehingga mati. Dalam Islam juga dilarang daripada menuduh seseorang berzina kerana ia menjatuhkan maruah seseorang. Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam surah an-Nur ayat 4
Terjemahan: dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik; - (Surah al Nuur : 4).

Ayat di atas jelas menunjukkan peraturan yang disyariatkan oleh Islam adalah bagi menjamin kebahagiaan manusia dan keturunannya sesuai dengan tarafnya sebagai khalifah di muka bumi.

e. Memelihara Harta
Harta adalah nikmat dan kurnia Allah s.w.t. yang diamanahkan kepada manusia. Umat Islam wajib memelihara dan menggunakan harta dengan sebaik-baiknya sesuai dengan kehendak Allah swt. Perbuatan membiarkan harta tanpa diusahakan, membazir, boros dan menyalahgunakan harta adalah dilarang dalam Islam, Islam membenarkan pemilikan harta secara individu, menghormati dan bukan menganiayai pemilik itu. Umat Islam harus berhati-hati dalam penggurusan harta kerana kecintaan kepada harta boleh melalaikan manakala kemelaratan dan kepapaan boleh membawa kepada kehinaan dan kekufuran.

Syariat Islam mengatur dan mengikat kemerdekaan manusia dalam penggunaan harta dengan ikatan yang menjamin keselamatan diri, hak orang lain dan kepentingan umum. Segala aktiviti ekonomi yang berbentuk batil adalah haram seperti sorok barang, manipulasi, menaikkan harga barang sesuka hati, menipu pembeli dan sebagainya. Malah hukuman hudud dikenakan ke atas perbuatan mencuri dan merompak. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 38

Terjemahan: dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al Maidah : 38).


iii. Menegakkan Keadilan
Syariat Islam diturunkan bagi mendidik dan membangunkan manusia supaya mereka maju di dunia dan akhirat. Menurut Islam, kestabilan sesuatu masyarakat banyak bergantung pada keseimbangan kedua-dua unsur yang terdapat dalam jiwa manusia iaitu unsur fizikal dan unsur rohani seseorang individu. Adil secara literalnya bermaksud meletak sesuatu pada tempatnya dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah swt. Kewajiban menegakkan keadilan ini telah disebut oleh Islam secara jelas dalam surah al-Hadid ayat 25
Terjemahan: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi Dengan keadaannya mengandungi kekuatan Yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi Dengan keadaan Yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu Dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang Yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al Hadid : 25).

3.3 Skop Syariah Islam

Secara umumnya, keseluruhan isi kandungan syariah Islam dapat dibahagikan kepada skop dan perlaksanaannya.

3.3.1 Skop
Dari segi skopnya, syariah Islam menaungi perkara-perkara berikut:

i. Hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t. (ibadah khusus), dan alam ghaib yang lain,
ii. Hubungan antara manusia sesama manusia (ibadah umum/muamalah).
iii. Hubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini sama ada haiwan, benda-benda atau tumbuh-tumbuhan.

Ibadah
Ibadah terbahagi kepada dua bahagian:

i. Khususi/ Asasi
ii. Umum

Ibadah asasi ialah ibadah yang mesti dilakukan oleh individu sendiri, orang lain tidak boleh melakukannya kecuali ibadah puasa, zakat dan haji. Ibadah asasi (khususi) yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya ialah sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadan, zakat dan Haji ke Baitullah jika mampu ke sana.

Ibadah umum adalah ibadah yang boleh dilakukan secara fardiyah (individu) atau secara jama'i (kolektif) seperti dalam bidang mua'malah, munakahat, dakwah dan sebagainya.

Maksud ibadah dari segi bahasa ialah patuh, taat, setia, tunduk, menyembah, menghina dan memperhambakan diri kepada yang lain.

Maksud ibadah dari segi istilah, menurut Dr. Yusof al-Qardawi, ialah kemuncak bagi segala jenis tunduk sama ada yang berupa taat atau tidak berupa taat, tetapi ketundukan yang sebenarnya hanya layak dihina dan disujudkan kepada Allah swt sahaja.

Menurut al-Azhari, seorang ahli bahasa, tidak boleh disebut seseorang itu menyembah dan beribadah kecuali ia menyembah dan beribadah kepada Allah swt.

Menurut pandangan Abu 'Ala al-Maududi, tunduk seseorang kepada ketinggian dan kekuasaan seseorang yang lain, lalu diserahkan kepadanya segala kebiasaan dan kemerdekaan dirinya, ditinggalkan penentangan dan kederhakaan terhadapnya.

Menurut As-Syeikh Muhammad Abduh ialah ketaatan dan kepatuhan dengan sepenuh-penuh tunduk melebihi kuasa manusia.

Menurut pandangan Ibn Taimiyah, ibadah itu adalah kemuncak ketaatan dan ketundukan hamba kepada Khaliq (Tuhan) dengan perasaan kasih, cinta yang suci, tanpanya ibadah tidak mencapai matlamat manusia dijadikan di atas muka bumi.

3.3.2 Perlaksanaan
Dalam aspek perlaksanaan kepada perintah dan larangan Allah s.w.t. pula, syariah Islam terbahagi kepada tiga iaitu:
i. Kewajipan yang menjadi tanggungjawab individu serta harus dilaksanakan di peingkat individu. Contohnya ialah perintah-perintah yang khusus ditujukan kepada individu terutama sekali dalam konteks hubungan langsung seseorang hamba dengan penciptanya, iaitu ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain.

ii. Perintah di mana perlaksanaannya dianjurkan supaya dilakukan secara kolektif atau berjamaah. Seluruh perintah dalam Al-Quran yang ditujukan secara kolektif dikategorikan sebagai tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Contohnya seperti perintah melakukan dakwah, jihad, menegakkan amal makruf dan nahi mungkar serta tuntutan-tuntutan fadhu kifayah yang lain.

iii. Perintah yang tidak mampu atau boleh dilaksanakan di peringkat individu mahupun kolektif tetapi ianya menjadi tugas serta kewajipan pemerintah. Perintah ini selalunya bersangkutan dengan perlaksanaan hukum bagi kesalahan jenayah seperti hudud, qisas dan ta'zir. Jelas sekali pembahagian ini menunjukkan tanggungjawab serta peranan yang harus dimainkan oleh setiap Muslim sama ada individu, masyarakat dan negara. Sekaljgus ia menggambarkan kesyumulan Islam itu sendiri.

3.4 Ciri-Ciri Perundangan Islam

i. Syumul (menyeluruh)
Sistem perundangan merangkumi seluruh bidang keperluan hidup manusia. la merangkumi hubungan antara manusia dengan Tuhan, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Begitu juga tuntutan dalam melaksanakan syariah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia adalah menyeluruh sama ada ia seorang muslim mahupun ia bukan seorang muslim pada setiap tempat dan sepanjang masa. Sekadar contoh, perintah sembahyang, ia melibatkan berlakunya hubungan manusia dengan Tuhan dan dalam masa yang sama berlaku hubungan manusia sesama manusia jika dilakukan secara berjama'ah di masjid atau di surau. Begitulah juga dengan perintah yang lain seperti puasa, zakat, haji, munakahat, mu'amalat dan sebagainya.

ii. Tidak membebankan
Perundangan Islam yang diturunkan kepada umat manusia adalah untuk memberi kemudahan manusia dalam menyelesaikan segala masalah dalam kehidupan di samping mampu menegahkan sistem keadilan dalam masyarakat. Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286
Terjemahan: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". (Surah al Baqarah : 286).


Ciri ini dapat dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan manusia termasuklah dalam bidang ibadah, mu'amalat, munakahat dan jinayah. Sekadar contoh, sembahyang empat raka'at dapat diqasar menjadi dua raka'at, dua waktu dapat dikurang menjadi satu waktu (dijama'kan) bagi orang dalam musafir yang bertujuan baik.

iii. Wahyu dari Allah S.W.T
Syariat Islam adalah penetapan dari Allah s.w.t. yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan dua pendekatan iaitu secara lafai; dan makna iaitu Al-Quran. Kedua secara makna sahaja iaitu Al-Sunnah. Atas faktor ini, syariat Islam lebih unggul dari beberapa sudut antaranya:

a) Segala prinsip dan hukum hakamnya terpelihara daripada sebarang kelemahan, kesilapan dan kekurangan.
b) la bersifat adil dan tiada diskriminasi atau kepentingan peribadi.

iv. Ganjaran Bersifat Duniawi dan Ukhrawi
Setiap hukum yang ditentukan di dalam syariat Islam mempunyai nilai dan balasan baik (pahala) dan buruk (dosa) di dunia dan di akhirat. Pembalasan serta ganjaran dalam syariah bukan sahaja bagi perbuatan zahir bahkan juga perbuatan hati. Segala kesalahan manusia dalam kehidupan ini tidak akan terlepas begitu sahaja walaupun telah dikenakan hukuman di dunia sekiranya tidak bertaubat kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T bermaksud:
Terjemahan: maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! 8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah al Zalzalah : 7).

v. Bersifat Universal
Syariat Islam bersifat universal. Ertinya ia meliputi semua tempat dan masa. Tiada batas geografi yang dapat mengasingkan syariah daripada manusia walau di mana mereka berada. Firman Allah
Terjemahan: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". (Surah al A'raf : 158).


Atas sifat universal ini, syariah Islam mampu menjamin kemaslahatan manusia serta segala keperluan mereka sepanjang masa iaitu:
a. la menjamin kemaslahatan manusia dulu, kini dan akan datang.
b. Syariat memberikan kelonggaran atau rukhsah dalam perlaksanaan hukum apabila ada kesukaran atau darurat. Contohnya Allah s.w.t. firman
Terjemahan: (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) ALLAH MENGHENDAKI KAMU BEROLEH KEMUDAHAN, DAN IA TIDAK MENGHENDAKI KAMU MENANGGUNG KESUKARAN. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al Baqarah : 185).

Ayat ini secara jelas memberi ruang yang mudah untuk umat Islam melaksanakan perintah syarak dalam keadaan darurat dengan mengambil kira batas-batas darurat yang dibenarkan oleh syara'. Misalnya mengqasar dan menjama'kan sembahyang, menggunakan tanah untuk bersuci bagi menggantikan air dalam kes-kes ketiadaan air atau tidak boleh menggunakan air kerana sakit atau diharuskan memakan makanan yang haram seperti babi dalam ketiadaan makanan lagi yang boleh dimakan untuk menyambung kehidupan setelah dicari sumber makanan yang halal tidak dijumpai, maka bolehlah dimakan sekadar untuk menyelamatkan nyawa sahaja, kerana dalam kes darurat terdapat satu kaedah fiqh yang digunakan oleh ulama yang berbunyi:
Darurat ini ada batas-balasnya  Contohnya ialah tidak boleh membunuh, melacur diri atau melakukan jenayah berat seumpamanya, sekalipun dalam keadaan darurat.

c. Dari segi kategori ayat hukum, nas-nas Al-Quran terbahagi kepada beberapa jenis. Ada yang bersifat terperinci (tafsilf) dan ada juga yang di datangkan dalam bentuk prinsip menyeluruh (kulli). Contohnya Allah SWT
Terjemahan: "Dan Turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) Yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya. (Surah al Zumar : 55).


Ayat ini telah membuka satu ruang penafsiran yang lebih bersifat semasa serta sesuai (terbaik) dengan keadaan selagi tidak bertentangan dengan nas syarak.

d. Ciri alami ini juga dapat dilihat melalui sumber-sumber perundangan Islam itu sendiri. Selain dari dua sumber asas, ia juga menerima ijma', qias, istihsan, istishab dan lain-lain sebagai rujukan hukum menjadikan ia lebih bersifat alami, ideal dan juga realistik. Contohnya di dalam kes derma organ, derma darah dan pengharaman pil ekstasi. Walaupun tidak mempunyai nas syarak yang khusus terhadap masalah tersebut, namun kaedah qias dan istihsan digunakan untuk maslahah umum yang bersifat semasa.

vi. Bersifat sekata, sepadu dan seimbang
laitu setiap syariat Islam saling berkaitan antara satu sama lain. Oleh itu, syariat ini perlu diamalkan secara keseluruhannya oleh manusia, bukan sebahagian tertentu sahaja. Apabila manusia hanya mengambil bahagian tertentu dan meninggalkan perintah yang lain akan cacatlah Islam mereka serta pincanglah kehidupan masyarakat itu. Firman Allah SWT
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Surah al Baqarah : 208).

Seimbang juga bermaksud tidak berat sebelah. Keseimbangan juga dapat dilihat dari sudut rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Begitu juga dalam aspek peraturan dan undang-undang. la tidak mengatur kehidupan masyarakat dengan kekuatan undang-undang semata-mata dan juga tidak membiarkan ia disusun mengikut pemikiran individu sahaja. Sebaliknya Islam menggabungkan antara kedua-duanya iaitu individu yang cintakan keharmonian dan undang-undang yang menjamm hak setiap orang supaya tidak dizalimi.

3.5 Sumber Perundangan Islam

Sumber perundangan Islam yang menjadi tempat pengambilan hukum syara' pada asasnya dapat dibahagikan dua pembahagian yang besar iaitu;
a. Sumber yang disepakati oleh semua ulamak.
b. Sumber yang tidak disepakati.

a. Sumber yang disepakati oleh ulamak
Sumber yang disepakati oleh semua ulamak dalam pengambilan hukum syara' ialah Al-Quran, Sunnah, ijmak ulamak dan qias atau ijtihad.

1. Al-Quran
Al-Quran dari segi bahasa bermaksud al-qiraah atau bacaan tetapi maksudnya ialah yang dibaca. Menurut istilah ia bermaksud kalam Allah s.w.t. yang mukjiz, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam bahasa Arab melalui Jibrail, la diturunkan secara beransur-ansur dan membacanya adalah menjadi ibadah.

Menurut Muhammad Ali al-Sayis mentakrifkan Al-Quran ialah Kitab yang diturunkan kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dalam bahasa Arab yang dipindahkan secara mutawatir yang dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas.

Al-Quran menjadi pokok agama, perlembagaan kaum muslimin dan tiang agama. la mengandungi 114 surah dan bilangan ayat-ayatnya melebihi enam ribu ayat. Kitab suci ini sebagai piagam suci. la menerangkan hukum-hukum dengan nas-nas secara ilmiah, sebaliknya hukum-hukum detail dan hukum-hukum furu' tidak banyak dibicarakan kecuali sedikit sahaja.

Kandungan hukum di dalam Al-Quran:
i. Hukum tentang iktikad atau keyakinan. Ini adalah perkara-perkara yang berkenaan dengan kewajiban setiap mukallaf beriktikad dengan Allah Yang Maha Esa, MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Kitab-KitabNya, Hari Kemudian, Qada'dan Qadar.

ii. Hukum-hukum tentang akhlak. la berkaitan dengan perbuatan zahir dan batin yang diperintah kepada mukallaf untuk melakukannya, ditegah mereka dari melakukannya. Hukum-hukum berkenaan dengan
perbuatan baik dan perbuatan jahat yang pada umumnya ada kaitan dengan penguasa.

iii. Hukum-hukum amali, iaitu yang berkenaan laku perbuatan mukallaf, berupa perkataan, perbuatan, aku janji dan pemegang hak. Bahagian ini dikendalikan di bawah fiqh dan usul fiqh.

Hukum amali di dalam Al-Quran terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

i. Hukum ibadah- aspek hubungan manusia dengan Tuhan seperti sembahyang, puasa, zakat haji, zikir dan sebagainya.
ii. Hukum-hukum mu'amalat - hukum yang melibatkan hubungan manusia sesama manusia seperti perjanjian kontrak.urus niaga, pajak gadai, jual-beli, pemindahan hak memiliki harta, hukum jinayah, munakahat dan sebagainya lagi.

Nama-Nama lain bagi Al-Quran
i. Al-Kitab atau Kitabuliah, dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 2 dan Surah al An'am ayat 114.
ii. Al-Furqan ertinya pembeza iaitu yang membeza antara yang benar dan batil. Kalimah al-Furqan terdapat dalam Surah al-Furqan ayat 1.
iii. Az-Zikr ertinya peringatan. la terdapat dalam Surah al-Hijr ayat 9 dan dalam Surah al- Nahl ayat 44.

2. Al-Sunnah/Hadis
Al-Sunnah dinamakan juga ilmu hadis yang mambawa maksud al-khabar atau berita. Khabar atau berita yang di ambil dari Rasulullah s.a.w. Menurut bahasa ia bermaksud jalan, sama ada jalan yang baik atau yang buruk. la juga bermaksud lawan kepada perkara bid'ah.

Menurut istilah, ahli-ahli hadis maksud sunnah atau hadis ialah segala apa-apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. sama ada ia berupa perkataan, perbuatan dan pengakuan serta perjalanan hidup sebelum menjadi nabi atau rasul dan sesudahnya.

Menurut ulama' usul fiqh, sesuatu yang datang atau terbit daripada Nabi s.a.w. sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan yang mempunyai hubungan dengan hukum. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis atau sunnah.

3. Ijma'
Sumber yang ketiga dari sumber-sumber perundangan Islam ialah al-Ijma'. Maksud Ijma' ialah persetujuan di antara ulama'-ulama' dari golongan umat Nabi Muhammad s.a.w. mengenai sesuatu hukum syarak di sesuatu masa yang tertentu berdasarkan Al-Quran dan sunnah. Umat Islam boleh ijmak sesuatu hukum selepas kewafatan Nabi s.a.w. dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syarak.

4. Qias
Qias bermaksud menyamakan hukum bagi sesuatu yang tidak ada nas dengan sesuatu hukum yang ada nas kerana persamaan illah. Nas ialah dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. llah pula bermaksud satu sifat yang menjadi sebab utama terbitnya hukum itu.
Contoh qias ialah pengharaman arak adalah kerana sifat arak yang memabukkan dan mempunyai nas dari Al-Quran tentang pengharamannya. Firman Allah SWT
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al Maidah : 90).

Oleh yang demikian, setiap minuman yang memabukkan seperti tuak, todi dan sebagainya yang tidak ada nas tentang hukumnya, disamakan (diqiaskan) hukumnya dengan arak iaitu haram.

b. Sumber Yang Tidak Disepakati oleh ulamak Islam
Selain daripada Al-Quran, Sunnah / hadis, ijmak dan qias atau ijtihad, terdapat sumber-sumber lain yang tidak disepakati di kalangan ulamak iaitu istihsan, masalih-mursalah, istishab, sharhun man qablana, qawl al-sahabi, saddu zarai' dan uruf disertakan beberapa contoh setiap masalah sumber-sumber yang tidak disepakati.


1. Istihsan
Dari segi bahasa istihsan bermaksud menganggap sesuatu perkara itu baik. Dari segi istilah istihsan sebenarnya terdiri daripada dua qias iaitu:
Qias jali (Qias nyata) yang lemah kesannya.
Qias khafi (Qias tersembunyi) yang kuat kesannya.

Maka dengan memilih yang tersembunyi (qias khafi) itulah dinamakan istihsan.
Contohnya ialah sisa-sisa makanan dan minuman dari burung-burung yang diharamkan memakan dagingnya seperti helang, gagak dan seumpamanya dihukum haram mengikut qias jali, kerana binatang tersebut diharam memakan dagingnya, tentulah sisa makanannya juga adalah haram (najis). Walau bagaimanapun, mengikut qias khafi, sisa makanan itu tidak haram (suci) kerana binatang tersebut makan dan minum menggunakan paruh dan tidak bercampur dengan air liurnya. Oleh itu, menurut hukum istihsan adalah suci.

2. Istishab
Ialah menetapkan hukum yang berlaku sekarang atau yang akan datang berdasarkan ketetapan hukum sebelumnya kerana tidak ada sesuatu yang mengubahnya. Contohnya ialah seseorang yang mengambil wuduk, tiba-tiba dia merasa was-was samada wuduknya masih ada atau tidak. Maka hukumnya dia masih ada wuduk mengikut kaedah istishab kerana tiada perkara-perkara yang membatalkan wuduk berlaku dalam tempoh tersebut.

3. Masalih Mursalah
Bermaksud kebaikan iaitu kebaikan yang tidak terikat dengan dalil Al-Quran, sunnah atau ijmak. Menurut istilah usul, masalih-mursalah adalah penetapan hukum yang tidak dinyatakan oleh Al-Quran, sunnah, ijmak dan qias tetapi berdasarkan pertimbangan untuk menjaga kemaslahatan dan menolak keburukan dalam kehidupan masyarakat. Contoh masalih al-mursalah di dalam hukum syarak ialah seperti sembahyang tarawih secara berjemaah yang dilakukan oleh khalifah Umar al-Khattab. Terdapat banyak contoh lain yang dilakukan oleh Umar al-Khattab mengikut kaedah masalih al-mursalah yang memperlihatkan kebijaksanaan Umar di dalam pemerintahannya seperti menetapkan talak tiga pada satu lafaz sahaja kerana rakyat selalu mempersendakan lafaz talaq, menghentikan bayaran zakat kepada golongan muallaf pada zamannya kerana golongan tersebut tidak menghadapi masalah kewangan dan cukup mantap iman mereka dan tidak perlu dijinakkan lagi hati-hati mereka.

4. Shar'un man qablana. la bermaksud syariat sebelum Nabi Muhammad saw. la meliputi hukum-hukum yang terdapat dalam syariat yang terdahulu yang diceritakan oleh Al-Quran dan sunnah tanpa ada nas yang mengatakan syariat itu diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad. Contohnya berpuasa sebagaimana umat-umat terdahulu (al-Baqarah ayat 183) dan haram mengambil tanah orang lain atau rakyat tanpa izinnya walaupun untuk membuat masjid kerana perkara yang sama telah dilakukan oleh Nabi Daud dan ditegur oleh Allah s.w.t.

5. Qaul al-Sahabi iaitu masalah ijtihad para sahabat Nabi s.a.w. sama ada percakapan atau perbuatan mereka. Dalam kes ini ulamak Islam berbeza pendapat, antara lain:
i. Ijtihad para sahabat sebagai hujah. Hadis Nabi s.a.w.; "sahabat-sahabatku seperti bintang-bintang, sesiapa sahaja kamu ikutinya kamu akan mendapat pertunjuk". Contoh ijtihad Abu Bakar dan Omar al-Khattab.
ii. Imam Malik, Abu Bakar, Ar-Razi, Syafei, Ahmad Ibn Hanbal menerima sepenuhnya sebagai hujah.
iii. Menurut ahli usul, ijtihad para sahabat tidak boleh dijadikan hujah hukum kepada sahabat yang lain kerana mereka itu secara ijmak mengharuskan berbeza pandangan dalam perkara ijtihad.

6. Saddu Zara'i
Saddu Zara'i bermaksud jalan atau perantaraan ke arah sesuatu sama ada baik atau buruk, sama ada perbuatan atau perkataan. Saddu zara'i pada kebiasaan banyak digunakan pada perkara yang buruk atau tidak baik. Contohnya seperti haram menyewakan bangunan atau kenderaan kepada seseorang untuk tujuan kejahatan atau maksiat atau haram bermuamalah dengan bank yang menjalankan sistem perniagaan atau pinjaman secara riba.

7. Al-'Urf bermaksud adat iaitu apa-apa sahaja yang telah biasa dilakukan, diamalkan dan diikuti oleh kebanyakan manusia sama ada dari segi percakapan atau perbuatan. Adat yang dilakukan itu mesti tidak berlawanan dengan syarak. Contohnya menghormati tamu, berjual beli tanpa ada akad, tawar menawar harga barangan yang hendak dibeli dan sebagainya.

3.6 Syariat Dan Pembangunan Ummah

Pembangunan menurut kaca mata Islam adalah merangkumi pembangunan spiritual dan material. Pembangunan secara umumnya ditakrifkan sebagai satu proses peningkatan kualiti kehidupan yang lebih baik.
Pvingkasnya pembangunan ummah adalah basil dari pembangunan insan yang melibatkan beberapa tahap berikut:

i. Pembangunan fizikal
laitu merujuk kepada tahap kesihatan tubuh badan manusia. Syariat Islam telah memberi panduan yang jelas bagi menjana peningkatan fizikal dengan memilih makanan yang halal dan baik. Selain daripada itu, ibadah khusus dan umum turut menyumbang kepada kesihatan tubuh badan seperti pergerakan di dalam solat, kawalan pernafasan di dalam bacaan Al-Quran serta amalan berpuasa berupaya menjaga kesihatan tubuh badan.

ii. Pembangunan kognitif
laitu proses di mana individu berkembang dari aspek pengetahuan dan keupayaan untuk membuat persepsi, berfikir, memahami dan menggunakan kemahiran dalam menjalani kehidupan. Perkara yang amat berkait dengan pembangunan ini ialah tuntutan menuntut ilmu dan berfikir. Islam jelas menuntut penganutnya agar menuntut ilmu. Banyak ayat Al-Quran dan hadis yang menjelaskan tentang kelebihan ilmu. Sehinggakan ayat Al-Quran yang pertama diturunkan juga menggesa umat Islam membaca sebagai wasilah (cara) untuk mendapatkan ilmu.

iii. Pembangunan emosi
Pembangunan emosi bermaksud pembangunan perasaan yang ditonjolkan dalam konteks hubungan manusia sesama insan dan makhluk seluruhnya. Emosi merupakan sumber keseronokan mahupun kesedihan yang berupaya mempengaruhi perkembangan moral seseorang.

iv. Pembangunan sosial
Pembangunan sosial bermaksud satu proses perkembangan di dalam hubungan antara manusia dengan persekitarannya. Syariat Islam telah mengatur tatacara untuk menjalinkan hubungan sesama manusia seperti dalam adab-adab pergaulan di dalam keluarga, jiran tetangga dan masyarakat persekitaran. Syariat Islam juga menuntut kita saling kasih mengasihani, hormat menghormati, tolong menolong adalah intipati kepada pembangunan sosial ini.

v. Pembangunan kerohanian
Pembangunan kerohanian merupakan satu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi pincang. Oleh itu, pembangunan kerohanian ini menjadi asas kepada keseluruhan pembangunan yang disebut di atas. Setiap manusia akan menempuh kesemua dimensi perkembangan tadi sepanjang hayat mereka, Setiap tahap perkembangan ataupun pembangunan tersebut dipandu oleh ajaran Syariat Islam.

KESIMPULAN
Syariah Islam merupakan satu dokumen perundangan yang lengkap, adil lagi menyeluruh dan merangkumi seluruh aspek yang bersangkutan dengan kepentingan manusia. Syariah Islam yang bercirikan rabbani ini sudah semestinya akan dapat menegakkan keadilan dalam sebarang pertikaian di antara sesama manusia, di samping ianya sudah pasti dapat mengimbangi seluruh keperluan dan kepentingan manusia. Kepatuhan dan ketaatan kepada syariah Islam sudah tentu akan membawa kehidupan manusia kepada kebahagiaan bukan sahaja di dunia bahkan akan berpanjangan di akhirat.